35 kenderaan cuba masuk arah Pantai Timur di Gerik diarah berpatah balik
Bernama
Julai 18, 2021 04:56 MYT
Julai 18, 2021 04:56 MYT
IPOH: Sebanyak 35 kenderaan yang dipercayai cuba memasuki arah Pantai Timur tanpa sebab munasabah melalui dua Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan daerah dan negeri di Gerik diarah berpatah balik pada Ahad.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata arahan berkenaan dikeluarkan kepada mereka yang sampai ke SJR di Km 89 Jalan Gerik-Kuala Kangsar dan Km 9 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli setakat pukul 4 petang Ahad.
Beliau ketika dihubungi malam tadi berkata 27 daripada kenderaan itu diarah berpatah balik kerana mengemukakan surat dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang tidak berkaitan.
Selain itu katanya selaras dengan arahan Ketua Polis Negara berkaitan pergerakan menggunakan surat MITI yang tidak lagi dibenarkan bermula hari ini sehingga Rabu depan, ada kenderaan yang diarah berpatah balik sebaik tiba di SJR berkenaan, kecuali mereka mengemukakan surat MITI yang berkaitan pengangkutan petrol dan makanan.
"Jumlah kenderaan di jalan raya ketika ini dilihat berkurangan sebanyak 30 peratus berbanding sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA