35 ekor kambing rentung dalam kebakaran kandang
Abd Razak Mohd Ali
Mac 20, 2022 07:17 MYT
Mac 20, 2022 07:17 MYT
IPOH: Sebanyak 35 ekor kambing rentung apabila sebuah kandang terbakar di Taman Temara, dekat sini, tengah malam tadi.
Bagaimanapun, 22 ekor lagi kambing yang berada di dalam kandang itu berjaya diselamatkan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 12.29 pagi ini.
“Kebakaran melibatkan sebuah kandang kambing kelas C berkeluasan lantai 10 X 50 kaki persegi dengan 50 peratus terbakar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, ketika kejadian terdapat 57 ekor kambing di dalam kandang berkenaan.
“Anggota bertindak membuat pemadaman menggunakan satu aliran 100 kaki dengan dua pancutan dari tangki jentera hingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” ujarnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rozaidee Kamarulzaman tamat jam 1.30 pagi.