35,000 naskhah novel terjual, bekas arkitek raih jualan cecah RM2.5 juta

Bernama
Mac 5, 2023 09:50 MYT
Ahmad berkata, dia mencuba menulis di Facebook mengenai cerita pengembaraan beliau dan isteri berbasikal ke Mekah dengan cerita pertama ialah ketika di Pakistan. - Foto Facebook/Bukuhills
KUALA LUMPUR: Tiada siapa menduga dengan menulis kisah diri sendiri berbasikal dari Malaysia ke Mekah, membawa kejayaan kepada Ahmad Mohd Isa apabila novelnya itu terjual 35,000 naskhah dengan jualan mencecah RM2.5 juta.
Ahmad, 35, mula menjual novel travelog bersiri berjudul, Ustazah Basikal - Nekad ke Makkah dan Ustazah Basikal - Yakin Kerana Dia, pada awal 2020 sehingga kini selepas tiga tahun beliau dan isteri, Noradilah Mohd Sapie, 36 menamatkan misi pengembaraan unik itu.
Pada 2016 pasangan suami isteri itu pernah melakukan kayuhan basikal ke Tanah Suci sejauh 14,000 kilometer dari Kuala Lumpur merentasi 14 negara selama lebih setahun dan tiba di Arab Saudi pada tahun berikutnya bagi menunaikan umrah.
Berkongsi kisahnya kepada Bernama baru-baru ini, Ahmad berkata ia bermula apabila beliau dan isteri mahu membawa ibu bapa mereka ke Mekah untuk menunaikan umrah pada Disember 2019, sebagai hadiah paling bermakna bagi membalas jasa orang tua.
Beliau berkata, sebanyak RM3,000 daripada duit simpanan mereka untuk tempahan awal pakej umrah itu telahpun dibayar daripada kos keseluruhan RM42,000 bagi enam orang.
"Saya hanya ada lima bulan untuk mengejar deadline (tarikh akhir) bagi menyelesaikan baki pakej umrah tersebut sebelum terbang ke Mekah, tidak boleh tidak saya kena cari duit juga kalau tidak deposit tidak akan dikembalikan, burn begitu sahaja.
"Jadi, saya dan isteri banyak berbincang apa yang boleh dijual untuk tampung kos umrah ini sehinggalah isteri saya mencadangkan untuk 'jual' kisah pengembaraan kami berbasikal ke Mekah dalam bentuk buku," katanya.
Ahmad yang juga bekas arkitek itu berkata pada peringkat awalnya, beliau agak skeptikal dengan cadangan itu dan tidak pasti akan ada permintaan orang ramai untuk membaca novel hasil karya sendiri apatah lagi sepanjang hayat belum pernah menghasilkan buku.
Anak kedua daripada lima adik beradik itu berkata beliau tekad membuat keputusan untuk mencuba menulis di Facebook mengenai cerita pengembaraan beliau dan isteri berbasikal ke Mekah dengan cerita pertama ialah ketika di Pakistan.
"Sejak daripada itu selama tiga bulan saya konsisten menulis kisah pengembaraan kami di Facebook, seawal 3 pagi saya sudah bangun buat perkara sama sampai Subuh, kemudian baru saya post (hantaran) di Facebook.
"Followers juga makin bertambah, daripada awal saya menulis hanya 1,000 orang sehinggalah 5,000 orang. Jadi, saya beranikan diri untuk bertanyakan sekiranya ada berminat untuk membeli buku hasil kompilasi cerita pengembaraan kami itu dan tidak menyangka ramai berminat," katanya.
Ahmad berkata beliau berjaya menjual sebanyak 500 naskhah pertama dengan jualan RM29,500 dan jumlah tersebut telah mencukupi untuk beliau, isteri dan ibu bapa Noradilah ke Mekah manakala ibu bapanya pula menarik diri kerana ada urusan tidak dapat dielakkan.
Ahmad yang berasal dari Gombak, Selangor berkata selepas pulang dari mengerjakan umrah, beliau kembali menulis bagi menamatkan cerita pengembaraan mereka sehingga menghasilkan novel travelog kedua.
"Mungkin rezeki kami, pada 2021 negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan orang ramai tidak boleh melancong, banyak masa duduk di rumah lantaran jualan buku kami memuncak sehingga mencecah RM1.8 juta," katanya yang memasarkan sendiri di Facebook.
Ditanya mengenai bagaimana beliau mampu menulis sedangkan tiada latar belakang dalam bidang itu, Ahmad berkata beliau banyak belajar menulis selepas menyertai kursus usahawan berkaitan penulisan copy writing yang kemudian diolah dalam penulisan bercerita selain turut konsisten menulis di Facebook.
"Saya juga ada mencari idea dengan melihat contoh buku paling laris lain dari segi susun atur buku, bentuk huruf dan gaya perenggan penulisan yang digunakan," katanya yang bercadang untuk menghasilkan dalam lima jilid kecil dan komik pada harga lebih berpatutan serta sesuai untuk semua peringkat.
Sementara itu, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron menyifatkan kejayaan Ahmad sebagai satu pencapaian luar biasa apatah lagi bagi mereka yang pertama kali menulis buku.
"Kejayaan ini membuktikan bahawa anggapan sesetengah pihak bahawa buku fizikal tidak mendapat tempat adalah kurang tepat kerana masih ramai yang minat membaca buku dan sanggup berkorban duit untuk mendapatkan sebagai bahan bacaan.
"Penulisan copy writing pula mampu membuat pembaca melekat dan membaca apa yang ditulis. Konsep buku seperti ini membuatkan orang terpikat dengan cerita ingin diceritakan," katanya.
Pada masa sama, Mohd Khair berharap Ahmad dapat menghantar penyertaan karyanya itu ke urusetia MBKM bagi dicalonkan antara 50 buku terbaik di Malaysia untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
#novel #Ahmad Mohd Isa #basikal #Mekah
;