347 individu lagi ditahan ingkar PKP - Ismail Sabri
Hasimi Muhamad
Januari 1, 2021 18:18 MYT
Januari 1, 2021 18:18 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis menahan 347 lagi individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Daripada jumlah itu, 337 telah dikenakan kompaun, manakala 10 direman, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan seramai 135 orang; tidak memakai pelitup muka (109); gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (54) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (49)," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.
Tambah Ismail Sabri, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM turut membuat 43,798 pemeriksaan, semalam.
"Sebanyak 2,397 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 10,633 anggota telah membuat pemantauan di 3,025 pasar raya, 4,234 restoran serta 1,472 penjaja, 919 kilang, dan 3,016 bank.
"Selain itu, pemantauan turut dijalankan di 654 pejabat kerajaan, 889 terminal pengangkutan darat, 164 terminal pengangkutan air serta 86 terminal pengangkutan udara," katanya.
Bagi Operasi Benteng pula, seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah berjaya ditahan, sementara lima buah kenderaan darat dirampas, kata Ismail Sabri.
Sebanyak 110 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan di seluruh negara, setakat Khamis.