344 anggota, pegawai 21 RAMD pulang dari Ops Daulat

Bernama
Mei 31, 2013 22:10 MYT
Seramai 344 pegawai dan anggota lain-lain pangkat 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang bertugas dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah, selama tiga bulan selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mereka yang menaiki pesawat MAS dan Air Asia, disambut dengan airmata gembira oleh anggota keluarga masing-masing yang menunggu sejak 3 petang di Kem 21 RAMD, Pengkalan Chepa di sini.
Selain itu, anggota keluarga Staf Sarjan Nordin Abd Manaf, 37, turut tidak ketinggalan membuat kain rentang khas bertuliskan 'Selamat Hari Jadi ke-37' ketika menyambut anggota tentera tersebut di lapangan terbang.
Nordin berkata beliau terharu dengan tindakan isterinya, Rajiah Harun, 33, membuat kain rentang khas tersebut ketika menyambutnya yang pulang daripada menunaikan tanggungjawab kepada negara.
"Saya gembira dengan kejutan ini dan mahu meraikan sambutan hari jadi ke-37 yang jatuh semalam (31 Mei) bersama mereka yang banyak berkorban dan ikhlas mendoakan saya selama ini.
"Di Lahad Datu, banyak pengalaman yang pastinya saya tidak akan lupakan kerana ia membabitkan keselamatan negara, saya berharap semua rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan negara," katanya kepada pemberita sebaik tiba di lapangan terbang, di sini.
Rajiah yang berasal dari Melor berkata beliau menunggu kira-kira tiga jam bersama beberapa anggota keluarganya sejak 2 petang bersama kain rentang tersebut sebelum penerbangan yang membawa suaminya selamat mendarat pada 5 petang.
"Sepanjang dia di sana, saya selalu mendoakan keselamatannya dan kepulangannya ini adalah hadiah terbaik untuk kami sekeluarga," katanya yang mendirikan rumahtangga bersama Nordin sejak 2005.
Ketibaan wira Lahad Datu tersebut turut disambut Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Shukuri Ahmad, Panglima 8 Briged Infantri, Datuk Zaki Hamzah, pegawai kanan dan anggota daripada 8 Briged dan 21 RAMD.
Ketua Kompeni Bravo 21 RAMD Mejar Zaki Kadir berkata sepanjang tiga bulan berada di Sabah mereka turut terlibat dalam tiga pertempuran dengan sekumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo.
"Kompeni kami diatur gerak ke Kampung Tanduo pada 23 Mac. Pertempuran paling lama berlangsung dari 7.30 malam hingga 3 pagi. Saya tak pasti ada pengganas yang mati atau tidak, tapi yang pasti ada yang cedera ketika operasi menjejak dijalankan berikutan penemuan kesan darah. Ia satu pengalaman yang berharga buat kami," katanya.
Sementara itu, Mohd Shukuri berkata beliau berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya ketika operasi tersebut berlangsung dan bersyukur kerana tiada anggota yang meninggal dunia atau cedera parah.
"Ini jelas menunjukkan Angkatan Tentera Malaysia sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua ancaman mahupun cabaran sama ada dari dalam ataupun luar negara.
"Selain 21 RAMD, pasukan lain di bawah 2 Divisyen yang terlibat adalah 9 Renjer yang berpangkalan di Ipoh, Perak dan 23 RAMD di Ipoh. Dua batalion askar daripada 2 Divisyen akan digerakkan sepanjang masa bagi membantu pusat pemerintah Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM)," katanya.
21 RAMD digerakkan ke Lahad Datu pada 3 Mac lepas menaiki dua penerbangan. Batalion tersebut diketuai Pegawai Memerintah 21 RAMD Lt Kol Kahiruddin Zakaria yang turut dibantu Pegawai Gerakan 21 Ramd, Mejar Ahmad Yusof.
#Lahad Datu #Ops Daulat #Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
;