34 pelacur ditahan di sekitar Petaling Jaya

Afiezy Azaman
Jun 30, 2019 22:07 MYT
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam Op Noda malam tadi. - Ihsan PDRM
Seramai 34 wanita warga asing yang menawarkan khidmat seks ditahan pihak berkuasa dalam serbuan Op Noda di Petaling Jaya, pada Sabtu.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, operasi yang dijalankan bermula 11 malam disertai 37 anggota dan pegawai dari D7 dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
"Serbuan dilaksanakan di empat lokasi berbeza, kesemua yang ditahan berumur antara 19 dan 41 tahun membabitkan wanita warga Vietnam (24), Thailand (6) dan Indonesia (4).
"Turut ditahan, lima lelaki warga tempatan iaitu penjaga kepada pelacur terbabit serta enam orang pelanggan premis untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Rohaimi, polis turut merampas beberapa kupon bernilai RM20, botol minyak badan, kondom, buku catatan kerja harian serta wang tunai.
"Premis-premis berkenaan dipercayai beroperasi setiap hari bermula pukul 12 tengahari sehingga 4 pagi dengan menawarkan bayaran RM170 bagi pakej layanan seks kepada pelanggan," jelas beliau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana terbabit kegiatan persundalan selain Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan serta kesalahan-kesalahan imigresen mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen, Seksyen 55B dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
#Akta Imigresen #D7 Bukit Aman #Ops Noda #pelacur #Petaling Jaya #wanita asing #wanita indonesia #wanita thailand #wanita vietnam #warga asing
;