34 cedera, bas dua tingkat rempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Utara Selatan

Abd Razak Mohd Ali
September 16, 2024 10:40 MYT
Sebuah bas persiaran merempuh pembahagi jalan di Kilometer 273.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di Ipoh, awal pagi tadi, mengakibatkan seorang pemandu dan 33 penumpang cedera. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seorang pemandu bersama 33 penumpang cedera selepas sebuah bas persiaran dua tingkat merempuh pembahagi jalan di Kilometer 273.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, awal pagi ini.
Dalam kemalangan itu, tiga orang penumpang yang duduk di tingkat bawah bas turut dilaporkan tersepit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.10 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh digerakkan ke lokasi dengan bantuan anggota dari BBP Simpang Pulai, BBP Meru Raya dan BBP Tambun.
“Kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dua tingkat terbabas melanggar pembahagi jalan.
“Tiga mangsa yang duduk di tingkat bawah bas tersepit di antara kerusi penumpang dan mengalami kecederaan, manakala 30 mangsa di tingkat atas mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar dengan sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, komander operasi melakukan size-up, seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER, mengarahkan anggota membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit antara kerusi dengan menarik pelaras kerusi dan mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung.
Katanya, ketiga-tiga mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital.
Dalam pada itu, katanya, 31 mangsa lagi termasuk pemandu diberikan rawatan awal oleh pihak perubatan sebelum dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera EMRS dari BBP Tambun dan BBP Meru Raya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Saharudin Omar tamat jam 2.45 pagi.
#Lebuhraya Utara Selatan #bas rempuh pembahagi jalan #Ipoh #bas dua tingkat kemalangan
;