334,426 murid di Kedah mulakan sesi persekolahan hari ini

Adie Sufian Zulkefli
Mac 19, 2023 12:30 MYT
Seramai 188,362 murid dari 548 sekolah rendah dan 146,064 murid dari 204 sekolah menengah memulakan persekolahan hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
ALOR SETAR: Seramai 334,426 murid dari 752 sekolah rendah dan menengah di Kedah memulakan sesi persekolahan bermula hari ini bagi negeri Kumpulan A.
Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad berkata ia melibatkan 188,362 murid dari 548 sekolah rendah dan 146,064 murid dari 204 sekolah menengah.
Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 30,613 adalah murid Tahun Satu.
Katanya, pendekatan baharu diketengah Jabatan Pendidikan dengan membenarkan ibu bapa menemani anak-anak pada minggu awal persekolahan dapat menyesuaikan pelajar dengan suasana baharu dalam hidup mereka.
"Saya juga telah menggerakkan barisan pengurusan tertinggi jabatan dan juga pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk bersama hadir ke sekolah untuk menyantuni murid dan dekatkan barisan kepimpinan PPD dengan pihak pentadbir.
"Kita juga diminta menyantuni guru. Kami JPN kedah yakin dengan kombinasi jabatan pentadbir, PPD dan sekolah... ia akan membuatkan guru selesa dan murid dapat manfaat," katanya.
Terdahulu Rozaini meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda di Alor Setar.
Beliau amat berpuas hati kerana rata-rata murid yang hadir ceria dengan berpakaian kemas ditemani ibu bapa mereka seawal jam 7 pagi.
Pelajar ini disambut dengan ramah oleh guru-guru sekolah selain maskot beruang.
#pembukaan semula sekolah #Kedah #Pengarah Pendidikan Kedah #Rozaini Ahmad
;