33 pondok tahfiz musnah terbakar

Mohd Zalani Md Atan
Julai 24, 2022 14:15 MYT
Anggota bomba dari BBP Gebeng dan Indera Mahkota melaksanakan kerja-kerja pemadaman. - Foto Astro AWANI
KUANTAN: 33 buah pondok tahfiz di Madrasah Al-Imaniyah, Jalan Sungai Ular, Kuantan, Pahang, musnah dalam satu kebakaran pada pagi Ahad.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Pahang berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.39 pagi dan tiba 10 minit kemudiannya dengan tiga jentera termasuk sebuah jentera tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dan Indera Mahkota.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Pahang (JBPM), Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, kebakaran pantas merebak disebabkan struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu.
Kebakaran juga tidak membabitkan sebarang mangsa kerana semua pondok tidak mempunyai penghuni ketika kejadian kerana sedang bercuti.
"Sebab itu bila bomba sampai dah 20 kebakaran (pondok), walaupun tempoh masa kita sampai dalam lebih kurang 10 minit atau kurang daripada 10 minit tetapi disebabkan struktur bangunan ini daripada kayu mungkin dah lama sebagainya dan juga kedudukan struktur pondok ini begitu rapat (menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat)," katanya.
Tambah Wan Mohammad, pihak bomba menghadapi kesulitan kerana ketiadaan pili bomba dan terpaksa menggunakan air dari sungai berhampiran sejauh 300 meter dari lokasi kebakaran.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 10.30 pagi dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
#kebakaran #pondok tahfiz #Kuantan #bomba
;