33 pintu Rumah Panjang Indang di Bintulu musnah dijilat api
Astro Awani
September 29, 2016 09:30 MYT
September 29, 2016 09:30 MYT
Malang buat Rumah Panjang Indang di Sungai Labang Sebauh Sarawak apabila mengalami kebakaran hampir sepenuhnya kira kira jam 9 malam tadi.
Dianggarkan lebih 160 orang penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran itu.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Hambali Mohamad memaklumkan kebakaran rumah panjang berkenaan merupakan kebakaran kali kedua selepas kebakaran pertama pada tahun 2009 yang lalu.
Menurutnya, pihak bomba yang menerima panggilan pada jam 9.21 malam telah mengerakkan seramai lima orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu ke lokasi kejadian yang terletak kira kira 60 kilometer dari balai.
Pihak bomba sampai ke lokasi kejadian pada jam 12.15 tengah malam dan mendapati api telah membakar sepenuhnya 33 buah pintu di rumah panjang berkenaan manakala lapan buah pintu yang berhampiran terselamat.
Bomba katanya menghadapi kesukaran untuk tiba di lokasi berikutan perjalanan yang terpaksa menyeberangi sungai dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk membawa peralatan pemadaman.
Bomba hanya dapat bertindak dengan memastikan tiada lagi sisa-sisa bara api tertinggal yang boleh membahayakan baki rumah panjang yang berhampiran.
Operasi memadamkan kebakaran tamat pada jam 3 pagi dan tiada mangsa yang tercedera dilaporkan.
Punca kebakaran masih disiasat.
Mengikut rekod, kebakaran rumah panjang kali ini merupakan kes ke 18 yang dilaporkan terjadi sepanjang tahun ini yang mana melibatkan 233 buah pintu di negeri itu.
#Bintulu Sarawak
#jabatan bomba
#kebakaran rumah panjang
#musnah dijilat api
#Rumah Panjang Indang Labang