33 penduduk tinggal sehelai sepinggang, empat rumah dan kedai runcit hangus

Petrus Bernard
Disember 26, 2021 11:58 MYT
Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. - Astro AWANI
KUNAK: Seramai 33 penduduk tinggal sehelai sepinggang dalam satu kebakaran yang memusnahkan empat buah rumah separuh kekal dan sebuah kedai runcit di Kampung Jaya Baru Jalan Kunak Sabah pada awal pagi Ahad.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat(BBP) Kunak, Mohammad Omarbatha berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada jam 1.45 pagi sebelum dua jentera FRT dan sebuah Van EMRS dengan kekuatan 8 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
BBP Semporna turut menghantar bantuan sebuah jentera FRT dengan kekuatan empat pegawai dan anggota untuk membantu operasi pemadaman kebakaran tersebut.
Kebakaran | 33 penduduk tinggal sehelai sepinggang
Operasi pemdaman bermula jam 1.50 pagi menggunakan dua aliran 300 kaki dengan dua pancutan melalui sumber air dari jentera bomba dan sumber air terbuka iaitu perigi.
Bagaimana pun api dapat dikawal daripada terus merebak pada jam 2.57 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 5.44 pagi.
Kebakaran telah memusnahkan empat buah rumah separuh kekal dan sebuah kedai runcit dengan jumlah mangsa terlibat seramai 33 orang.
Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Untuk rekod yang dikeluarkan BBP Kunak sepanjang Januari hingga Disember 2021,Kunak mencatatkan 24 kes kebakaran dengan jumlah kerugian RM1,074,250.
#kebakaran #musnah #rumah #kedai runcit
;