33 PATI cuba mendarat di pantai Desaru gagal lolos

Astro Awani
Mei 16, 2019 15:46 MYT
Sebahagian daripada PATI yang ditahan dalam operasi pada jam 8 malam di pantai Desaru. - APMM
Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) kerana cubaan memasuki negara ini melalui kawasan yang tidak diwartakan.
Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 27 lelaki dan 6 wanita warganegara Indonesia.
"Bertindak atas maklumat awam satu operasi dan serbuan telah dilakukan jam 8 malam semalam (Rabu) ketika semua suspek diturunkan dari bot berhampiran kawasan pantai Hotel Tiara, Desaru.
"Berdasarkan pemerhatian paras air laut pada ketika itu agak dalam dan anggota bertindak menyelamatkan suspek yang berada dalam air kerana bot terbabit berpatah balik setelah menyedari kehadiran anggota.
"Seorang daripada dua suspek yang dipercayai tekong darat berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri ke dalam belukar berdekatan," katanya.
Ujar Mohd Zulfadli ekoran itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah mengejar bot penyeludup migran yang kelihatan seperti menggunakan tiga atau empat enjin sangkut sehingga meloloskan diri ke sempadan perairan.
Katanya, bimbang jika masih terdapat migran wanita dan kanak-kanak di dalam bot tersebut yang masih belum diturunkan.
"Kesemua Pati ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Siasatan awal juga mendapati kesemua mereka dikendalikan oleh geng Fuad Lombok," katanya lagi.
Zulfadli turut menasihati warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman atau datang ke Malaysia agar menggunakan laluan sah.
Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi tersebut bagi membendung aktiviti penyeludupan migran menggunakan laluan laut untuk keluar masuk.
"Cara ini amat berbahaya dan sindiket penyeludupan manusia juga dilihat seperti tidak menghargai nyawa penumpang-penumpang mereka.
"Sebarang aduan jenayah di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Johor Timur boleh disalurkan ke talian pusat operasi ZMTS 07-891 6595 dan talian MERS 999," katanya lagi.
#pantai desaru #pati #pendatang asing tanpa izin
;