33 murid terperangkap banjir di asrama sekolah berjaya diselamatkan

Sharom Abu Bakar
Januari 1, 2018 22:02 MYT
33 murid Sekolah Kebangsaan Pasir Raja, Dungun, Terengganu berdepan detik mendebarkan selepas terperangkap di dalam banjir pada Isnin malam - Foto Astro Awani
Seramai 33 murid Sekolah Kebangsaan Pasir Raja, Dungun, Terengganu berdepan detik mendebarkan selepas terperangkap di dalam banjir pada Isnin malam.
Dalam kejadian jam 10.00 malam itu seramai 17 murid lelaki dan 17 perempuan terkandas setelah asrama yang dihuni mereka ditenggelami air kira-kira dua meter.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Billah Shah, Jaswari Awang berkata sejurus menerima panggilan pada jam 10.04 malam itu, seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Pihak kami turut menyelamatkan enam guru, dua pengawal keselamatan serta dua ahli jawatankuasa persatuan ibu bapa dan guru sekolah tersebut," katanya ketika dihubungi, di sini, malam tadi.
Katanya, ketika pasukan bomba berkenaan tiba di sekolah berkenaan, kesemua mangsa, termasuk murid yang berusia tujuh hingga 12 tahun itu berada dalam satu kumpulan di asrama.
Beliau berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk tiba ke sekolah itu berikutan cuaca gelap, manakala laluan ke lokasi pula dipenuhi dengan kayu yang tenggelam akibat banjir .
Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar pada 11.36 malam dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir Dewan Sivik Pasir Raja.
#air #asrama #banjir #bomba #Dungun #guru #mangsa #pusat pemindahan #sekolah #terperangkap