33 juta rakyat Malaysia jadi keutamaan Sultan Ibrahim
Sinar Harian
November 22, 2023 12:18 MYT
November 22, 2023 12:18 MYT
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bukanlah satu kenaikan pangkat tetapi tambahan tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga sebagai Ketua Negara.
Sultan Ibrahim bertitah, keutamaan baginda bukan untuk menjaga kepentingan politik 222 wakil rakyat, tetapi 33 juta rakyat Malaysia dan perkara itu akan menjadi kepentingan baginda.
“Saya merasakan negara pada hari ini telah dijangkiti satu virus yang pernah saya sebutkan dahulu semasa di Pasir Gudang iaitu virus perpecahan.
“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa dan kedudukan demi kepentingan diri sendiri,” titah baginda.
Baginda bertitah sewaktu Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru hari ini.
Justeru, baginda menyeru semua pemimpin bertolak ansur dan hormat-menghormati di antara satu sama lain untuk meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyat.
Pada 27 Oktober lalu, Sultan Ibrahim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pelantikan selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Pelantikan baharu itu menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.
Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019. - Sinar Harian