33 IPTS ditutup tahun ini - Idris Jusoh

Bernama
Disember 18, 2017 18:42 MYT
IDRIS (dua kiri) menyampaikan Sijil Penarafan MyQuest 2016/2017 kepada wakil Kolej Sunway Kuala Lumpur Annie Lim pada Majlis Penarafan MyQuest 2016/2017 hari ini. - Gambar Bernama
Sebanyak 33 institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara ditutup tahun ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata perkara itu disebabkan oleh beberapa sebab seperti tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan serta pengurusan dan kualiti yang lemah akibat masalah kewangan.
Sebagai contoh, Idris menarik perhatian kepada kolej yang tidak mempunyai pelajar yang mencukupi atau pensyarah yang berkelayakan serta sesetengah kolej pula meminta untuk menghentikan operasi secara sukarela.
"Apabila kita mendapati mereka beroperasi tanpa mematuhi keperluan, mereka perlu menutup operasi... kita tidak boleh menjejaskan kualiti pendidikan," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penarafan kepada IPTS yang layak pada majlis penarafan Sistem Penilaian Kualiti Kolej Swasta Malaysia (MyQUEST) 2016/2017 di sini hari ini.
Idris berkata kualiti kolej swasta di negara ini tidak akan dikompromi dan ini terbukti melalui pindaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) yang berkuatkuasa pada 28 Nov untuk mengawal selia IPTS.
Idris berkata bagi 2016/2017, sejumlah 336 kolej menyertai MyQUEST dengan memasukkan data serta respon ke dalam sistem berasaskan web selain hanya 276 kolej memenuhi kriteria kelayakan dan layak untuk diaudit.
Menurut beliau, daripada 276 kolej, hanya 206 diberi penarafan dengan 15 kolej mencapai enam bintang - penarafan tertinggi yang mungkin - berbanding sembilan pada 2014/2015, 63 mencapai lima bintang (sebelumnya 52), 61 empat bintang (sebelumnya 46) dan 67 tiga bintang (sebelumnya 92).
MyQUEST merupakan sistem yang dibangunkan oleh kementerian untuk menilai prestasi kolej swasta di Malaysia, dan menambahbaik kualiti pendidikan yang disediakan.
-- BERNAMA
#Idris Jusoh #ipts #kolej swasta #menteri #Menteri Pendidikan Tinggi #operasi #pelajar #pendidikan
;