328,056 penerima pencen nikmati tunggakan pelarasan baharu

Nursyazwani Saiful Sham
November 8, 2017 18:29 MYT
Richard memberitahu seramai 328,056 penerima pencen bakal menerima tunggakan pelarasan faedah berkala baharu yang akan dibayar mulai 26 Disember ini.
Seramai 328,056 penerima pencen bakal menerima tunggakan pelarasan faedah berkala baharu yang akan dibayar mulai 26 Disember ini.
Pembayaran tunggakan pelarasan baharu itu berjumlah RM72.62 juta melibatkan penerima Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Pencen Ilat dan Pencen Penakat.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata peratus kenaikan adalah antara 1.2% hingga 10.4% yang melibatkan pencen pada atau sebelum tahun 2014.
"Setelah mempertimbangkan keprihatinan terhadap rakyat, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meluluskan pelarasan faedah berkala atau pencen di bawah skim bencana pekerjaan dan skim keilatan,
"Kadar pelarasan yang diberi sebelum tahun 2011 adalah 10.4%, pencen yang diberi dalam tahun 2011 (8.3%), pencen yang diberi dalam tahun 2012 (6.6%), pencen yang diberi dalam tahun 2013 (4.4%) dan pencen yang diberi dalam tahun 2014 (1.2%)," jelasnya ketika sidang media di sini pada Rabu.
Tambah Richard, pelarasan itu dibuat seiring dengan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat bagi meringankan beban perbelanjaan yang kian meningkat setiap hari terutama buat penerima dan tanggungannya.
"Sebelum ini, kadar pelarasan adalah di antara 1.3% hingga 3.7% yang telah dibuat pada tahun 2012, melibatkan penerima faedah sehingga tahun 2010," katanya.
#Faedah Hilang Upaya Kekal #Faedah Orang Tanggungan #hilang #keselamatan #pencen #pencen ilat #Pencen Penakat #perkeso #Richard Riot #sumber manusia
;