325 pekerja asing dipaksa tidur di stor sempit, kilang plastik disiasat
Bernama
September 25, 2023 19:40 MYT
September 25, 2023 19:40 MYT
JOHOR BAHRU: Sebuah premis pembuatan bahan berasaskan plastik di Taman Tan Sri Yaakob di sini, disiasat selepas disyaki gagal mematuhi peraturan penginapan bagi 325 pekerja asing di kilang itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KSM) Mohd Asri Abdul Wahab berkata syarikat tersebut dikesan hanya menyediakan lima ruang penginapan di kawasan stor penyimpanan produk siap dengan purata setiap penginapan menempatkan kira-kira 65 pekerja.
Beliau berkata dalam Operasi Penguatkuasaan Khas Bersepadu yang dijalankan bersama pelbagai agensi termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 2.30 petang tadi, pihak majikan juga dikesan melanggar beberapa hak asasi pekerja sejak 2021.
"Hari ini kita buka kertas siasatan dan kita ambil kenyataan pekerja dan juga majikan bagi mengenal pasti apakah kesalahan-kesalahan yang telah dibuat pihak majikan, dengan setiap unit kediaman boleh dikenakan kompaun maksimum RM50,000.
"Menerusi operasi dijalankan tadi, saiz ruangan penginapan disediakan hanya sesuai untuk kegunaan seramai enam orang pekerja sahaja dengan sebuah unit bilik air. Malah pekerja juga tidak disediakan lokar berkunci untuk menyimpan barangan peribadi termasuk pasport mereka," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan di premis berkenaan di sini hari ini.
Mohd Asri berkata majikan turut dikesan tidak menyediakan katil untuk pekerja selain terdapat bilik mandi tidak berdinding dan berada bersebelahan dengan dapur tempat memasak.
"Bilik digunakan untuk tidur juga adalah kawasan memasak dengan barangan seperti bawang dan cili juga disimpan bersama-sama. Peti ais juga ada di dalam bilik tidur," katanya sambil menambah serbuan itu hasil aduan awam yang diterima pihaknya daripada pelbagai sumber.
Menurut beliau, setelah aduan-aduan berkenaan diterima, pihaknya menjalankan serbuan dan tindakan akan diambil sekiranya benar berlaku pelanggaran akta oleh majikan yang terlibat.
"Kebiasaannya serbuan kita hasil risikan pegawai dan anggota, aduan pekerja asing sendiri melalui kedutaan mereka atau melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang terlibat dengan isu-isu hak asasi manusia," katanya.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pihak majikan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446).
Mohd Asri berkata sejak Januari tahun ini sehingga kini, KSM telah membuka sebanyak 326 kertas siasatan dengan 187 daripadanya telah dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM1.9 juta.
-- BERNAMA