32 selamat, 3 masih hilang kejadian banjir lumpur di Bentong

Astro Awani
Disember 19, 2021 20:52 MYT
Seramai 35 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan satu kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi Chalet Bobby Eco Camp, Bentong, Pahang pada malam Sabtu. - Astro AWANI
KUANTAN: Seramai 35 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan satu kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi Chalet Bobby Eco Camp, Bentong, Pahang pada malam Sabtu.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, menerima laporan kejadian tersebut pada Sabtu jam 10.40 malam dan mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands dan Gombak ke lokasi kejadian dengan bantuan dari Pasukan STORM Negeri Pahang.
Pada jam 4.09 pagi Ahad, pihak bomba telah menemui 32 orang termasuk lapan kanak-kanak berada dalam keadaan kesejukkan dan tidak berani untuk berada di dalam chalet kerana bimbang akan ancaman arus sungai yang deras.
Kerja-kerja menyelamat telah dijalankan dan tamat pada pukul 8:30 pagi namun setelah dilakukan 'head count' (kiraan) pihak bomba mendapati tiga mangsa termasuk saorang kanak-kanak telah hilang.
Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa diteruskan dengan bantuan tiga ekor anjing pengesan dan tujuh anggota Unit Pengesan dalam jarak 300 meter radius dari kawasan kejadian.
22 anggota terlibat dalam kerja menyelamat yang diketuai oleh Ketua Balai BBP Genting Highlands, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yusri Abdullah Sani.
Operasi ditangguhkan pada jam 6.30 petang Ahad dan disambung semula pada Isnin.
#banjir lumpur #Bentong #Pahang #Chalet Bobby Eco Camp #JBPM
;