317 kes denggi baharu, empat kematian dilaporkan

Bernama
Julai 28, 2024 06:00 MYT
Kementerian Kesihatan menyarankan semua pihak menjalankan aktiviti gotong-royong secara berkala dan menjadikan One Hour Malaysia Clean Up sebagai aktiviti bulanan. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Sebanyak 317 kes baharu demam denggi dan empat kematian dilaporkan pada Minggu Epidemologi ke-29 (ME29) iaitu bagi tempoh 14 hingga 20 Julai lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan dari 2,373 kes pada Minggu Epidemologi ke-28 (ME28) kepada 2,690 kes pada ME29, dengan 69 kematian akibat komplikasi denggi.
Beliau berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME29 adalah sebanyak 94 lokaliti berbanding 100 pada minggu sebelumnya dengan 71 lokaliti di Selangor, enam di Perak, enam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing empat di Negeri Sembilan dan Kedah, dua di Sabah serta satu di Kelantan.
"Bagi survelan chikungunya, terdapat empat kes direkodkan pada ME29 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 58 kes.
"Bagi survelan zika pula, sebanyak 1,505 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cecair serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau menyarankan semua pihak menjalankan aktiviti gotong-royong secara berkala dan menjadikan One Hour Malaysia Clean Up sebagai aktiviti bulanan iaitu pada hari Sabtu minggu keempat setiap bulan bagi persekitaran yang lebih bersih dan bebas denggi.
-- BERNAMA
#denggi #Muhammad Radzi Abu Hassan #Kementerian Kesihatan #aktiviti gotong-royong #nyamuk aedes