31 pelacur warga asing, 13 anggota sindiket dicekup di Johor
Ernalisa Othman
September 3, 2020 15:57 MYT
September 3, 2020 15:57 MYT
Satu aktiviti persundalan di Johor Bahru dengan menawarkan pakej wanita warga asing di hotel-hotel bajet hingga ke pintu rumah berjaya ditumpaskan Polis Johor dengan tetangkapnya 31 pelacur warga asing termasuk 13 ahli sindiket dalam Op Noda.
Mereka yang dicekup merupakan 13 lelaki warga tempatan yang dipercayai dalang aktiviti pelacuran, sembilan wanita warga Indonesia, 21 wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Thailand yang dicekup di lima serbuan berasingan dekat hotel bajet sekitar negeri itu.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, aktiviti persundalan yang beroperasi 24 jam sehari itu menawarkan bayaran antara RM190 hingga RM650 bergantung kepada pakej ditawarkan.
“Sindiket ini menggunakan perempuan Vietnam dan Indonesia sebagai pelacur dan mempromosikan gambar pelacur melalui aplikasi WeChat, MuChat dan WhatsApp.
“Sindiket juga akan menarik pelanggan yang lalu-lalang di hadapan premis dengan menunjukkan gambar-gambar pelacur melalui telefon. Sekiranya pelanggan berminat untuk melanggan pelacur, sindiket akan membawa pelanggan ke tingkat atas premis yang (menyediakan) bilik-bilik untuk perkhidmatan seks,” ujar beliau.
Ayob menambah, transporter atau individu yang menghantar pelacur ke lokasi dikehendaki pula akan menerima upah antara RM20 hingga RM50 bergantung kepada jarak.
Hasil siasatan juga mendapati, hotel-hotel bajet berkenaan juga telah diubah suai secara haram dengan dibahagikan kepada bilik-bilik kecil iaitu 10 bilik dalam satu satu tingkat.
Antara yang dirampas dalam Op Noda adalah 15 unit telefon bimbit, 123 keping kondom, dua tiub krim pelincir dan lapan tisu gulung.
Kesemua tangkapan warga tempatan akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala warga asing akan direman mengikut Akta Imigresen.
#aktiviti seksual
#ayob khan mydin pitchay
#jenayah
#ketua polis johor
#op noda
#PDRM
#pelacur
#pelacuran
#polis johor
#warga asing