31 pegawai, anggota polis dibuang kerja - Allaudeen

Bernama
Disember 20, 2023 13:53 MYT
Allaudeen berkata jumlah berkenaan berkurangan berbanding seramai 40 pegawai dan anggota yang dikenakan tindakan buang kerja bagi tempoh yang sama tahun lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Seramai 31 pegawai dan anggota polis Kontinjen Kuala Lumpur dikenakan tindakan dibuang kerja atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga November lepas, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid.
Beliau berkata jumlah berkenaan berkurangan berbanding seramai 40 pegawai dan anggota yang dikenakan tindakan buang kerja bagi tempoh yang sama tahun lepas.
"Sentiasalah menjalankan tugas dengan berintegriti kerana integriti bukan sahaja mencerminkan imej seseorang pegawai dan anggota polis, malah ia melambangkan identiti Polis Diraja Malaysia," katanya ketika berucap pada Perhimpuan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Allaudeen berkata anggota polis merupakan petugas barisan hadapan yang berhadapan masyarakat, oleh itu sangat penting bagi pegawai dan anggota meningkatkan disiplin, melaksanakan tugas mengikut prosedur operasi standard.
Selain itu, Allaudeen berkata sepanjang tahun ini seramai 93 anggota dinaikkan pangkat daripada Koperal kepada Sarjan manakala 34 anggota dinaikkan menjadi Sarjan Mejar.
"Kenaikan pangkat bukanlah suatu kemegahan sebaliknya merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Maka galaslah amanah dan tanggungjawab ini sepenuh hati dan berkhidmatlah dengan profesional serta integriti yang tinggi setiap masa," katanya.
-- BERNAMA
#anggota polis #dibuang kerja #Ketua Polis Kuala Lumpur #Allaudeen Abdul Majid #masalah disiplin
;