31 kompaun langgar SOP PKPP dikeluarkan di Port Dickson

Bernama
Ogos 1, 2020 10:43 MYT
Pasukan petugas juga mengeluarkan dua kompaun terhadap dua lelaki yang minum minuman keras sehingga mabuk di tepi pantai Sunshine Bay, Jalan Pantai Port Dickson, Sabtu lepas. - Gambar hiasan
Sebanyak 31 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam tempoh seminggu di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata Pasukan Petugas Pematuhan SOP PKPP terdiri daripada anggota polis Ibu Pejabat Daerah Port Dickson, penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan penguat kuasa Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson telah menjalankan pemeriksaan ke beberapa premis sekitar bandar Port Dickson, Lukut dan Teluk Kemang.
"Operasi pematuhan turut tertumpu di kawasan pantai yang kerap dikunjungi pelawat yang dibuka kepada orang awam sejak 13 Jun lepas," katanya dalam kenyataan di sini.
Pasukan petugas juga mengeluarkan dua kompaun terhadap dua lelaki yang minum minuman keras sehingga mabuk di tepi pantai Sunshine Bay, Jalan Pantai Port Dickson, Sabtu lepas, katanya sambil menambah pihaknya secara berterusan mendidik masyarakat agar mematuhi SOP PKPP sehingga 31 Ogos, nanti.
Katanya, operasi pematuhan diperhebatkan pada hujung minggu dengan tumpuan dilakukan di sepanjang pantai Port Dickson dan orang ramai juga diingatkan bahawa sebarang aktiviti selepas pukul 12 malam, adalah dilarang.
-- BERNAMA
#Aidi Sham Mohamed #COVID-19 #kompaun #langgar SOP #Lukut #mabuk #minuman keras #operasi #orang awam #Pantai #pelawat #pematuhan #penguat kuasa kesihatan #petugas #PKPP #polis #Port Dickson #SOP #Teluk Kemang
;