31 kawasan 'hotspot' tanah runtuh dikenal pasti di seluruh negara - JMG

Astro Awani
November 3, 2023 17:19 MYT
JMG menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan berisiko seperti kawasan yang pernah mengalami tanah runtuh agar peka dengan keadaan sekeliling. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah mengenal pasti sejumlah 31 kawasan hotspot yang berdepan ancaman tanah runtuh di seluruh negara.
Antara kawasan yang terlibat adalah sekitar Lembah Klang; Tanjung Bungah dan Paya Terubong di Pulau Pinang; Ipoh, Perak; Cameron Highlands, Pahang; Kundasang, Sabah dan Bau, Sarawak.
Menurut Ketua Pengarah JMG, Datuk Zamri Ramli, pihaknya telah melaksanakan pemantauan terhadap 254 cerun kritikal di seluruh negara.
Langkah tersebut sebagai tindakan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana geologi tanah runtuh menjelang Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada November ini.
"Sejumlah 104 lokasi cerun telah diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi dan sejumlah 97 dan 53 lokasi cerun diklasifikasikan sebagai cerun kritikal sederhana dan rendah.
"Berdasarkan pemantauan, sejumlah 37 cerun telah diambil tindakan mitigasi, manakala 15 cerun sedang diambil tindakan mitigasi dan 202 cerun dalam perhatian untuk tindakan selanjutnya.
"Sebaran maklumat hasil pemantauan cerun kritikal ini telah dibuat kepada agensi berkepentingan bagi tindakan susulan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Zamri berkata JMG juga menjalankan pemetaan di tujuh lokasi Taman Eko Rimba (TER) yang berpotensi untuk berlaku bencana geologi aliran puing iaitu di Perak (TER Lata Iskandar); Selangor (TER Sungai Tua); Negeri Sembilan (TER Jeram Toi); Pahang (TER Chamang) serta Terengganu masing-masing TER Lata Payung, TER Chemerong dan TER Air Menderu.
Sehubungan itu, JMG menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan berisiko seperti kawasan yang pernah mengalami tanah runtuh agar peka dengan keadaan sekeliling.
#Cameron Highlands #Kawasan hotspot tanah runtuh #banjir malaysia #NRECC
;