31 ekor penyu mati dalam tempoh 3 bulan
Nur Fazlizai Ali
April 1, 2022 09:50 MYT
April 1, 2022 09:50 MYT
DUNGUN: Terengganu merekodkan sebanyak 31 kes kematian penyu dalam tempoh Januari hingga 31 Mac tahun ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, jumlah itu agak tinggi bagi tempoh suku pertama tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Ruzaidi sebanyak 51 kes dicatatkan pada tahun 2021, 55 kes tahun 2020 dan 78 kes bagi tahun 2019, melibatkan pelbagai spesis penyu.
Selain itu, banyak faktor menjadi penyumbang terhadap kematian reptilia marin di negeri itu.
"Antara punca kepada kedamparan ini penyu tadi, nombor satunya adalah akibat gelombang pada musim tengkujuh terutamanya yang memberi kesan kepada penyu itu sendiri. Penyu lemas di dalam air kerana penyu tidak mampu untuk naik ke atas bagi mendapatkan udara.
"Yang keduanya adalah akibat daripada aktiviti pukat tunda yang tidak menepati syarat yang telah pun kita tetapkan iaitu pemasangan peralatan 'turtle excluder device' ataupun TED yang mana kalau kita pasang peralatan TED ini maka penyu yang terperangkap akan mudah keluar. Kalau tak pasang, maka penyu itu terperangkaplah di dalam keroncong pukat tular menyebabkan penyu tadi akan lemas," katanya.
Ruzaidi berkata program kesedaran dan kursus sering diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan nelayan dan orang ramai.
Ia bagi menekankan kepentingan mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus dapat menyelamatkan reptilia berkenaan.