308 Perajurit Muda Udara tamat latihan
Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 22, 2018 21:34 MYT
Disember 22, 2018 21:34 MYT
Seramai 308 Perajurit Muda Udara (PjM U) berjaya menamatkan Latihan Perajurit Muda Udara Siri 59/2018 di Akademi Tentera Udara pada Sabtu.
Majlis istiadat perbarisan tamat latihan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
PjM U Muhammad Akmal Azwan Noor Esam telah dinobatkan sebagai PjM U Terbaik Keseluruhan dan menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara.
Anugerah PjM U Akademik Terbaik pula disandang oleh PjM U Muhamad Iqbal Ismail dan menerima Piala Pusingan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara manakala PjM U Sidi Omar Mottar Shah dinobatkan sebagai PjM U Penembak Terbaik dan menerima Piala Pusingan Asisten Ketua Staf Tadbir.
Kesemua 308 PjM U ini telah menjalani latihan hampir enam bulan sejak 7 Julai 2018.
Dalam latihan tersebut, PjM U telah didedahkan dengan modul latihan seperti latihan jasmani, kawad, pengendalian senjata, latihan medan, etika tentera, pengetahuan awam serta modal insan.
Melalui modul-modul latihan tersebut, para pelatih dilatih sebagai seorang perajurit muda yang akan menggalas tugas dalam mempertahankan kedaulatan Negara.
Turut hadir di istiadat perbarisan ini adalah Panglima Pendidikan Dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Bantuan Udara Mejar Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM.