301 projek sakit libat 38,572 unit rumah selesai, pulih tahun ini

Ridauddin Daud
Oktober 30, 2023 13:00 MYT
Akmal berkata, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi semua projek tersebut berjumlah RM28.88 bilion.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 301 projek perumahan swasta yang sakit atau terbengkalai melibatkan 38,572 unit kediaman berjaya diselesaikan dan dipulihkan pada tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi semua projek tersebut berjumlah RM28.88 bilion.
Menurutnya, kerajaan sentiasa komited berusaha menyelesaikan projek perumahan sakit termasuk menjejak projek dengan lebih terperinci supaya tindakan penyelesaian adalah lebih bersasar dan berfokus.
“Pada ketika ini, pelbagai langkah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menjejak (tracking) projek-projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai secara komprehensif dan menyeluruh.
“Antaranya adalah melalui pemantauan laporan bertulis mengikut Seksyen 10e(1)(b) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Akta 118) berkaitan projek perumahan bermasalah.
“Kedua, mengenal pasti kategori projek perumahan (lancar, sakit dan lewat) dan seterusnya memantau kemajuan projek sebenar dari semasa ke semasa yang melibatkan lawatan tapak secara berkala dan sistematik,” katanya.
Tambah beliau, usaha lain adalah mengenal pasti tahap keseriusan masalah sesuatu projek dengan mengambil kira faktor tempoh masa penyiapan dengan membandingkannya dengan perancangan jadual kerja asal.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin, ketika menjawab soalan R Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai strategi kementerian untuk menyelesaikan projek perumahan sakit.
#Akmal Nasir #projek perumahan #projek terbengkalai #projek sakit
;