300 tukun tiruan dilabuhkan di Kelantan babit nilai RM5.86 juta

Bernama
Julai 21, 2024 23:11 MYT
Dr Erniyta (empat, kanan) di Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda (Konservasi) Di Perairan Tok Bali hari ini. - Gambar Bernama
PASIR PUTEH: Jabatan Perikanan melabuhkan sebanyak 300 tukun tiruan konservasi dan rekreasi pelbagai jenis di perairan Kelantan dengan jumlah peruntukan dibelanjakan RM5.86 juta sejak 2007.
Pengarah Perikanan Kelantan, Dr Erniyta Osman berkata tukun-tukun terbabit ditenggelamkan di empat daerah -- Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh dengan membabitkan tujuh lokasi iaitu di Kuala Tumpat, Kuala Besar, Sabak, Kemasin, Pantai Irama, Semerak dan Tok Bali.
Beliau berkata pelbagai jenis tukun telah digunakan antaranya Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda, Tukun Dasar Lembut, Tukun Rekreasi di mana tukun-tukun berkenaan menggunakan konsep konservasi dan rekreasi.
"Tahun ini merupakan paling banyak peruntukan digunakan untuk melabuhkan sebanyak 70 tukun membabitkan nilai RM2.2 juta.
"Kita akan meneruskan usaha ini berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan peningkatan sumber perikanan sekali gus menjamin sekuriti makanan negara membabitkan sumber laut," katanya kepada pemberita di Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda (Konservasi) di Perairan Tok Bali, di sini, hari ini.
Erniyta berkata setakat ini menerusi kajian serta pemerhatian, usaha ini telah berjaya meningkatkan sumber perikanan.
Menurutnya, setiap unit tukun yang dilabuhkan, ia mampu menyumbang kepada penghasilan sebanyak 6,000 kilogram (kg) ikan daripada lebih 28 spesis ikan yang berpotensi iaitu termasuk ikan kerisi, ikan tanda, ikan kerapu, ikan jenahak dan sebagainya.
"Setiap 6,000kg yang berjaya diperolehi ia mampu memberi hasil pulangan sehingga mencecah RM80,000. Oleh itu, kita perlu menjaganya daripada ancaman bubu, pukat dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA
#Tukun Tiruan #hasil pulangan #ikan kerapu #ancaman bubu
;