300 teksi khas wanita bakal dilancar April ini
T K Letchumy Tamboo
Mac 20, 2013 10:08 MYT
Mac 20, 2013 10:08 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melancarkan 300 buah lagi teksi khas yang akan dipandu oleh pemandu wanita sebagai antara usaha kerajaan menangani kes jenayah dan menjamin keselamatan penumpang wanita.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur berkata, pada masa sama, inisiatif
itu juga bertujuan meningkatkan pendapatan golongan wanita yang berpendapatan rendah.
Jelas beliau, inisiatif berkenaan digerakkan di bawah program 1Azam Khidmat yang dikendalikan oleh kementerian.
“Teksi-teksi ini dipandu oleh wanita-wanita yang terdiri daripada ibu tunggal dan juga suri rumahtangga. Mereka akan dikenali sebagai Teman 1Azam," katanya kepada Astro Awani.
Menurut Dr Noorul, semua pemandu terlibat sedang diberikan latihan untuk jadi pemandu yang beretika.
Pelancaran 300 buah teksi khas untuk wanita ini adalah tambahan kepada 50 buah yang dilancarkan pada November 2011.
Semasa melancarkannya, mantan Timbalan Menteri Datuk Heng Seai Kei berkata, inisiatif itu mensasarkan sehingga 400 buah teksi yang akan beroperasi secara tempahan telefon di sekitar Lembah Klang secara berperingkat.
Soal keselamatan penumpang teksi wanita jadi tumpuan sejak kebelakangan ini ekoran peningkatan kes jenayah terhadap mereka.
Pada 11 Mac lepas, seorang warga Amerika Syarikat dirogol beramai-ramai dan dirompak di Sungai Pelek, Sepang selepas menaiki sebuah teksi dari Mutiara Damansara untuk pulang ke rumahnya di Damansara Perdana.
Polis kemudian menubuhkan sebuah pasukan bagi menyiasat kes berkenaan dan berjaya menahan sembilan suspek termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan. Polis juga percaya kes itu telah berjaya diselesaikan.
Sementara itu, Dr. Noorul berkata, jenayah dan keganasan terhadap wanita tidak mungkin dapat dihentikan hanya dengan menyediakan teksi khas untuk wanita.
“Kita perlu menukar minda lelaki mengenai keganasan. Kesedaran ini bukan sahaja patut dilaungkan pada hari-hari tertentu, tetapi ia seharusnya disebarkan terus-menerus melalui media elektronik, media cetak organisasi bukan kerajaan dan institut pengajian tinggi,” katanya.
Dr. Noorul juga berpendapat pemikiran untuk menghargai serta menghormati wanita dan bukan melihat wanita sebagai golongan yang boleh dimangsai mesti ditanam sejak peringkat awal lagi khususnya di sekolah.
Bagaimana mendapatkan teksi khas wanita?
- Teksi mempunyai pelekat khas: ‘Teksi Wanita'
- Operasi dikendalikan oleh tiga syarikat: Destination Transport, Zalnas Sdn Bhd dan Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya.
- Hubungi talian 03-80240507, 03-26926000 dan 03-88884020 untuk mendapatkan pemandu wanita.