300 peniaga Kompleks Pekan Rabu bakal guna kaedah beli tanpa tunai menjelang tahun depan

Bernama
Mac 1, 2022 08:45 MYT
Muhammad Sanusi (tengah) menunjukkan Kod QR yang terdapat di sebuah kedai di Pekan Rabu pada Program Walkabout@Pekan Rabu Transaksi Tanpa Tunai di Alor Setar, 28 Feb 2022. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menyasarkan 300 peniaga di Kompleks Pekan Rabu di sini menggunakan kaedah pembelian tanpa tunai bagi urusan jual beli dengan pelanggan menjelang tahun depan.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata setakat ini hanya 10 peratus daripada jumlah peniaga yang ada di kompleks itu menggunakan kaedah pembelian tanpa tunai sejak ia diperkenalkan tahun lepas.
"Kita ingin mempromosikan pembelian tanpa tunai ini di pasar awam di Kedah seperti yang sudah dilaksanakan di beberapa pasar awam terkenal antaranya Pasar Siti Khadijah, Kelantan dan Pasar Payang, Terengganu.
"Kebanyakan pelanggan yang datang ke Pekan Rabu ini dari negeri lain yang sudah biasa dengan konsep pembelian tanpa tunai, sebab itu kita ingin menggalakkan peniaga di sini menyediakan platform yang tidak perlu menggunakan wang tunai," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pekan Rabu di sini, semalam.
Beliau berkata kaedah itu juga bagi menyahut seruan kerajaan Persekutuan yang ingin mendigitalkan perkhidmatan kerajaan dan ekonomi negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurutnya Pekan Rabu bakal menjadi perintis pembelian tanpa tunai bagi pasar-pasar awam di Kedah dan diharap jumlah peniaga yang menggunakan kaedah itu dapat dipertingkatkan sepenuhnya menjelang awal tahun depan.
Sementara itu Pengurus Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad Izahar Ibrahim berkata pihaknya memang menggalakkan semua peniaga di kompleks itu menyahut saranan menggunakan kaedah pembelian tanpa tunai.
"Kita ingin jadikan Pekan Rabu sebagai kompleks perniagaan tanpa penggunaan tunai. Tahun lepas memang kita sudah mula perkenalkan tapi sambutan daripada peniaga kurang mungkin kerana ramai peniaga di sini golongan berusia, jadi itu menjadi kekangan.
"Tahun ini banyak program telah diatur untuk memberi kefahaman dan mengajar peniaga serta pekerja di sini bagaimana guna konsep ini walaupun ia mungkin akan mengambil sedikit masa," katanya.
-- BERNAMA
#peniaga #Kompleks Pekan Rabu #pembelian tanpa tunai #Muhammad Sanusi Md Nor
;