300 penduduk Taman Puncak Jelapang Maju bimbang ancaman tanah mendap

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 1, 2021 14:28 MYT
Wakil penduduk, Azhar Mohamad, 53, berkata, mereka merayu pihak berkuasa, khususnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian lebih serius. - Foto Astro AWANI
IPOH: Lebih 300 penduduk Taman Puncak Jelapang Maju, di sini melahi bimbang ancaman tanah runtuh ekoran kejadian tanah mendap yang berlaku di jalan utama di taman mereka sejak Selasa lalu.
Mereka mendakwa kejadian itu berpunca daripada tindakan sebuah syarikat menjalankan kerja-kerja tanah sehingga hampir dengan Jalan Puncak Jelapang 4 yang terletak berhampiran.
Wakil penduduk, Azhar Mohamad, 53, berkata, mereka merayu pihak berkuasa, khususnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian lebih serius.
"Kesan dia bermula pada hari Selasa lah, hujan lebat, itu yang menyebabkan tanah runtuh. Lagi satu disebabkan mereka yang buat kerja-kerja inilah yang dah mengorek-ngorek tanah ini semua kan, itulah kesannya.
"Kami adalah panggil Pejabat Tanah, mereka sudah datang, mereka sudah tengok, dia orang sudah ambil laporan, itu sahaja yang kami dapat tahu," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Dia ditemui ketika bersama penduduk menunjukkan kesan kejadian tanah mendap itu pada Jumaat.
Seorang pesara guru, S. Sundralingam, 64, pula berkata, hasil perbincangan dengan penduduk yang tinggal di taman itu sejak lebih 10 tahun, mereka sependapat kejadian tersebut boleh mendatang bahaya, termasuk kanak-kanak.
"Kalau apa-apa berlaku, we have to face medical cost ataupun lost of our car dan sebagainya. Disamping itu, ini sudah menjadi satu pencemaran di kawasan kita, pencemaran bunyi serta pencemaran udara.
"Disamping itu, air akan menyalur ke bawah, air longkang akan salur ke bawah. Lama kelamaan tanah akan jadi lembut, kemungkinan besar bangunan pun boleh runtuh," katanya.
Tinjauan ke lokasi kejadian mendapati mendapan tanah itu berlaku di tepi jalan utama dan tidak jauh dari rumah.
#Majlis Bandaraya Ipoh #tanah runtuh #tanah mendap #penduduk risau
;