300 pegawai, anggota askar Wataniah bantu Ops Penawar
Bernama
April 12, 2020 03:58 MYT
April 12, 2020 03:58 MYT
Sejumlah 300 pegawai dan anggota Rejimen 514 Askar Wataniah di bawah perintah Markas Artileri 3 Divisyen yang berpangkalan Kem Bukit Beruang membantu pihak berkuasa dalam Ops Penawar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Melaka.
Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali berkata anggota rejimen itu diperintah Brigidier Jeneral Noor Sazali Puteh terlibat dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) dan Rondaan Berkenderaan bagi membantu ganti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang operasi itu.
Beliau berkata sepanjang operasi itu, anggota rejimen tersebut berpangkalan di Akademi Kastam Diraja Malaysia di Bukit Baru dengan kelulusan Kerajaan Negeri Melaka.
Sulaiman berkata operasi itu diusahakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Hasim Hasan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Melaka.
"Saya selaku Penaung JAKPAW Negeri Melaka berharap lebih ramai anggota Askar Wataniah dapat menyahut seruan dan tampil menyertai Ops Penawar dengan melapor diri di Rejimen 514 Askar Wataniah Negeri Melaka," menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.
Difahamkan terdapat anggota bertugas datang dari Cameron Highland, Pahang dan Johor Bahru, Johor.
Sulaiman berkata sebanyak empat terowong sanitasi disediakan Jabatan Kerja Raya Melaka untuk kegunaan anggota yang balik bertugas daripada operasi itu bagi menyah kuman diri mereka.
Beliau juga berkata kerajaan negeri akan lebih tegas dalam pelaksanaan PKP fasa tiga dan meminta rakyat Melaka terus mematuhi prosedur yang digariskan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.
"Harapan saya jika ini semua dapat dipatuhi, Melaka akan menjadi negeri pertama bebas daripada COVID-19 sekali gus kita dapat memulihkan ekonomi negeri dan semua aktiviti dapat berjalan seperti biasa," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana membenarkan fasiliti Akademi Kastam Diraja Malaysia digunakan sebagai penempatan pasukan rejimen itu.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia
#koronavirus
#Melaka
#operasi
#Perintah Kawalan Pergerakan PKP
#Rejimen 514 Askar Wataniah
#Wataniah