300 motosikal kepada AEON rider, hak milik jika prestasi kerja bagus
Hasimi Muhamad
Ogos 6, 2020 15:23 MYT
Ogos 6, 2020 15:23 MYT
Kumpulan Syarikat AEON Malaysia melalui Yayasan AEON Malaysia (MAF) hari ini menyumbang 300 buah motosikal kepada ‘rider’ dan bakal pekerja syarikat tersebut dalam usaha membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Inisiatif yang dikenali sebagai Projek AEON Rider itu berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM1.45 juta hasil jualan ayam di cawangan AEON di seluruh negara yang dilancarkan sejak April lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafie Shamsuddin, AEON komited mengubah nasib mereka yang kehilangan pekerjaan akibat wabak tersebut.
Katanya, pandemik COVID-19 secara keseluruhan telah mengubah kehidupan masyarakat di seluruh dunia sekali gus menyebabkan banyak syarikat terjejas dan ramai kehilangan pekerjaan.
“Saat ini kita menawarkan 300 (pekerjaan) dan ia baru dipenuhi oleh 100 pekerja.
“Jadi, kita berharap lebih banyak lagi peluang untuk orang lain yang belum mendaftar (memohon pekerjaan). Sekiranya projek ini berjaya, Insya-Allah AEON akan mengambil kira untuk menambah (peluang pekerjaan) jika program ini berjaya dalam tempoh setahun,” katanya selepas majlis pelancaran Projek AEON Rider di AEON Mall, di sini pada Khamis.
Turut hadir merasmikan program tersebut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup dan Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Yasmin Ahmad Merican.
Mengulas lanjut, beliau berkata, AEON Rider yang terpilih akan diberikan kontrak pekerjaan dengan gaji kasar sebanyak RM1,200 bagi tempoh setahun dengan tambahan caj penghantaran.
“Selepas tempoh setahun dengan prestasi kerja yang memuaskan, setiap seorang daripada 300 AEON Rider yang terlibat akan diberikan hak milik kekal motosikal dan pilihan untuk menjadi pekerja tetap di syarikat AEON Malaysia.
“Ini merupakan niat murni AEON untuk berikan kelestarian kepada mereka. Jika nanti mereka memilih tidak lagi untuk bekerja dengan AEON, motosikal itu juga akan menjadi milik mereka,” katanya lagi.
Orang ramai yang mahu memohon pekerjaan sebagai ‘rider’ boleh melayari Facebook AEON Malaysia atau laman sesawang PENJANA.
#300 motosikal AEON rider
#AEON Malaysia
#COVID-19
#Joseph Kurup
#PENJANA
#Perdana Menteri
#PKP
#Projek AEON Rider