300 mangsa banjir, sukarelawan terima bantuan dari NGO

Astro Awani
Januari 14, 2021 22:39 MYT
Kira-kira 300 mangsa menerima bantuan termasuk sukarelawan terutama yang bertugas bagi APM sepanjang bencana ini. - Foto: Aixin Malaysia
KOTA TINGGI: Tidak banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menghulurkan bantuan kepada sukarelawan bertugas ketika banjir biarpun mereka turut terkesan akibat bencana tersebut.
Itulah menjadi penggerak utama Pertubuhan Kasih Sayang Aixin Malaysia (Aixin Malaysia) yang bukan sahaja menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir, malah turut memastikan petugas sukarelawan mendapat bantuan.
Petang tadi, Aixin Malaysia dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), berkunjung ke empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Banjir di daerah ini bagi menyalurkan bantuan wang tunai kepada mangsa.
Kira-kira 300 mangsa menerima bantuan termasuk sukarelawan terutama yang bertugas bagi APM sepanjang bencana ini.
Selain Aixin Malaysia, sumbangan turut dibuat oleh ahli korporat yang bertujuan membantu meringankan beban mangsa.
Awal bulan ini, penduduk di Kota Tinggi terpaksa dipindahkan selepas penempatan mereka dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan dan pertembungan air pasang di Sungai Johor.
Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Bendahari Aixin Malaysia, Datuk Wong Yong Kiong di empat Pusat Penempatan Sementara (PPS) iaitu PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (C) New Kota, Sekolah Kebangsaan Laksamana, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar dan Sekolah Kebangsaan Gembut di sini.
Turut hadir, Pengerusi Aixin Malaysia, Datin Fam Yuen Nee dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail.
Antara kampung terjejas akibat banjir ialah Kampung Kelantan, Taman Kemang dan Kampung Tembioh yang terjejas dengan banjir dan beberapa penduduk turut menerima bantuan wang tunai berkenaan.
Yong Kiong berkata usaha ini adalah sumbangan ikhlas perkongsian rezeki dengan penduduk di kala mereka berdepan musibah apatah lagi banyak kerosakan harta benda akibat bencana banjir.
“Sejak kami dapat tahu banjir melanda, kami simpati dengan mangsa dan segera beritahu rakan rakan kami untuk berkongsi rezeki bagi meringankan beban mangsa banjir ini.
“Sebelum ini kami pernah menghantar barangan keperluan harian selain katil, tilam dan bantal tetapi kali ini kami membuat keputusan untuk menghulurkan sumbangan ikhlas berbentuk wang tunai bagi membolehkan mangsa membeli sendiri barangan yang diperlukan apabila pulang ke rumah nanti,” katanya.
Menurutnya, selain itu, Aixin Malaysia juga tidak lupa dengan jasa dan pengorbanan anggota sukarelawan terutama APM yang bertungkus lumus sejak awal banjir bagi kerja-kerja menyelamat dan perubatan bagi mangsa banjir selain menjalankan tugas di PPS.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan APM, Penolong Pesuruhjaya (PA) Ghazali Abdul Rahman, wakil rasmi Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab di program ini berkata kerjasama ini adalah julung kali diadakan dengan turut memberi perhatian kepada anggota sukarelawan APM dan agensi lain.
“Sebenarnya sukarelawan yang bertugas ketika bencana banjir seperti APM juga adalah mangsa banjir namun atas rasa tanggungjawab dan hasil latihan diberikan, mereka sentiasa mengutamakan penduduk sekitar untuk dibantu selepas keluarga sendiri dibawa ke tempat selamat.
“Ini usaha pertama kali dilaksanakan apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Aixin Malaysia turut menghulurkan sumbangan selain kepada mangsa banjir tetapi turut disalurkan kepada petugas sukarelawan di PPS terutama bagi anggota APM yang bertugas tanpa henti sejak banjir melanda hingga kini,” katanya selepas program penyampaian sumbangan itu.
Seramai 35 anggota sukarelawan APM turut diberi sumbangan wang tunai selain sukarelawan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
#NGO #banjir #sukarelawan #Aixin Malaysia #PPS #Pusat Pemindahan Sementara #Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APM #mangsa banjir
;