300 keluarga terima sumbangan dari Takaful Ikhlas

Bernama
Oktober 29, 2012 10:30 MYT
Lebih 300 keluarga yang kurang kemampuan termasuk fakir miskin, ibu tunggal, warga dan keluarga orang kurang upaya menerima pelbagai jenis bantuan dari Takaful Ikhlas Sdn Bhd pada satu majlis di sini Ahad.
Antara sumbangan yang diterima mereka termasuk daging korban sempena sambutan perayaan Aidiladha dan barang makanan seperti beras, gula, susu dan minyak.
Presiden Eksekutif Takaful Ikhlas Wan Mohd Fazlullah Wan Abdullah berkata, sumbangan tersebut adalah bertujuan meringankan beban mereka tatkala menyambut perayaan Hari Raya Korban.
"Di samping itu juga pihak Takaful Ikhlas juga memberikan sumbangan zakat perniagaan sebanyak RM10,000 kepada pihak Masjid Kampung Pasir Besar," katanya semasa berucap pada majlis Korban Perdana Takaful Ikhlas dan Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia di Kampung Pasir Besar di sini.
Katanya, bagi daging korban, sebanyak 15 ekor lembu dan 10 ekor kambing telah disembelih hasil dari sumbangan kakitangan Takaful Ikhlas yang diagihkan kepada 300 keluarga tersebut yang datang dari beberapa kampung.
"Penyertaan Takaful Ikhlas dalam program ini adalah bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan disamping memenuhi tuntutan tanggungjawab sosial Takaful Ikhlas untuk membantu masyarakat," katanya.
Sementara itu Presiden Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia Zawahir Abdullah berkata, program Korban Perdana ini merupakan acara tahunan pihaknya dengan kerjasama Takaful Ikhlas dalam melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan.
Katanya, dalam menyambut sesuatu perayaan seperti Hari Raya Aidiladha ini, masyarakat khususnya yang berkemampuan seharusnya tidak lupa dan lebih peka kepada mereka yang lain yang mungkin kurang bernasib baik.
#Aidiadha #Gemas #korban #Takaful Ikhlas
;