300 jadi mangsa skandal penipuan pelaburan, rugi RM2.2 juta

Dania Zainuddin
November 26, 2016 23:04 MYT
Pendedahan itu dibuat oleh Bendahari Agung MIC Datuk Seri S. Vell Paari (gambar).
Kira-kira 300 mangsa skandal penipuan pelaburan kini kerugian RM2.2 juta selepas memasukkan wang ke dalam akaun Yayasan Usaha Ventures Malaysia.
Pendedahan itu dibuat oleh Bendahari Agung MIC Datuk Seri S. Vell Paari yang juga memberitahu sepasang suami isteri yang mendalangi skandal ini telah menggunakan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam kegiatan mereka.
Sebelum ini pasangan bergelar 'Datuk' ini juga telah menggunakan yayasan tersebut untuk bertindak sebagai syarikat induk dalam mendapatkan wang dari pelabur di bawah syarikat Venus FX.
Menurut Vell Paari, penipuan terhadap pelabur dari syarikat Venus FX itu melibatkan 16 ribu orang dengan jumlah RM5 juta.
"Mereka berjanji dan dapatkan lesen perbankan kepada syarikat Venus FX. Dia (Datuk G. Gnanaraja) meminta semua pelabur untuk memasukkan duit ke dalam akaun dia, akaun yayasan," kata Vell Paari dalam satu sidang media di Petaling Jaya pada Sabtu.
Kata Vell Paari, proses undang-undang terhadap pasangan Datuk G. Gnanaraja dan Datuk Geethanjali akan dimulakan bagi mendapatkan semula pelaburan itu.
Jelasnya, kes ini telah memberi masalah kepada mangsa kerana ada yang sudah memperuntukkan wang itu untuk perubatan dan pendidikan.
Malah ada juga yang meletakkan kesemua wang simpanan tua mereka dalam pelaburan ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Mohd Luthfi Ismail Abdullah mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mengenai perkara itu.
#S. Vell Paari #skandal penipuan pelaburan #Yayasan Usaha Ventures
;