300,000 warga Indonesia dijangka kembali ke Malaysia selepas Aidilfitri

Bernama
April 28, 2022 19:03 MYT
Hermono (kiri) beramah mesra bersama warga Indonesia yang beratur membeli tiket feri untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri di Jeti Feri Stulang Laut hari ini. - Bernama
JOHOR BAHRU: Seramai 300,000 warga Indonesia dijangka memasuki kembali negara ini secara berperingkat selepas Hari Raya Aidilfitri.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata, selain mereka yang pulang berhari raya, jumlah itu juga termasuk individu yang pulang ke Indonesia semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata kekurangan pekerja asing di Malaysia turut menyumbang kepada kemasukan warga Indonesia ke negara ini.
"Ini kerana Malaysia juga mengalami kekurangan tenaga buruh dan ia bergantung kepada permintaan, namun saya ramalkan sekitar 300,000 (warga Indonesia) akan memasuki Malaysia," katanya pada sidang media selepas meninjau Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, di sini hari ini.
Sementara itu, Hermono berkata kesemua perkhidmatan penerbangan serta feri daripada Malaysia menuju ke Indonesia penuh ketika ini dan majoritinya pulang bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
"Semua penerbangan penuh sekarang dan (ini berikutan) Indonesia juga sudah beri kelonggaran untuk memasuki negara," katanya.
Beliau pada masa sama menasihati warga Indonesia yang ingin memasuki negara ini agar menggunakan jalan yang sah.
-- BERNAMA
#warga Indonesia #tenaga kerja #Aidilfitri #pandemik
;