300,000 dijangka kunjungi MADANI Rakyat Zon Timur
Astro Awani
Julai 5, 2024 21:50 MYT
Julai 5, 2024 21:50 MYT
KUANTAN: Dijangka lebih 300,000 pengunjung akan membanjiri Program MADANI Rakyat Zon Timur yang berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan, dari 5 hingga 7 Julai 2024.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, program itu yang melibatkan Pahang, Terengganu, dan Kelantan, bertujuan memperkenalkan dasar dan inisiatif Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Tambah Rubiah antara aktiviti utama adalah termasuk TVET, pelancongan, pertanian, pendidikan STEM, dan kecerdasan buatan (AI) dengan 34 reruai pameran serta 188 perkhidmatan oleh agensi kerajaan.
"Sebelum ini kita sudah buat di beberapa lokasi, asalnya di Bukit Jalil yang telahpun mendapat respons yang amat baik di semua tempat. Harapan kita di Zon Timur juga akan mendapat respons yang lebih baik daripada masyarakat setempat, khususnya dari negeri Pahang, Kelantan dan juga Terengganu," ujar beliau.
Acara yang pasti menarik perhatian orang ramai adalah pengurangan 50 peratus bayaran saman trafik, pertukaran topi keledar, Jualan MADANI, pameran aset kerajaan dan Karnival Kerjaya dengan 1,700 peluang pekerjaan.
Selain itu, KKDW turut mempromosi produk dan aktiviti pelancongan luar bandar, contohnya melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan program berkenaan pada Sabtu, 6 Julai.
MADANI Rakyat Zon Timur ini dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik KKDW dan kerajaan Negeri Pahang.