30 rumah rosak akibat ribut di Semporna
Bernama
Disember 22, 2024 11:30 MYT
Disember 22, 2024 11:30 MYT
SEMPORNA: Kira-kira 30 rumah serta sebuah masjid di dua perkampungan atas air di sini rosak akibat angin kencang yang melanda pada 4.30 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Madzlan Sarman berkata dianggarkan 20 rumah serta sebuah masjid di Kampung Selamat rosak dan 10 rumah rosak di Kampung Seri Aman.
"Kami menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.21 pagi dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. Selain rumah, kira-kira 20 kenderaan turut rosak," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Menurut Madzlan, kejadian itu menyebabkan berlaku litar pintas dan Sabah Electricity serta pasukan bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dan operasi tamat pada 7.38 pagi, katanya.
-- BERNAMA