30 rumah di Bukit Antarabangsa terjejas banjir kilat
Astro Awani
Mac 30, 2022 21:44 MYT
Mac 30, 2022 21:44 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 buah rumah di Jalan Mulia, Bukit Antarabangsa di sini, terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan selama beberapa jam pada petang Rabu.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 6.35 petang.
“Hujan lebat berterusan telah menyebabkan air hujan dari atas bukit melimpah dari longkang utama di kawasan taman tersebut dan menyebabkan laluan air turun ke bawah bukit.
“Kejadian tersebut menyebabkan kira-kira 30 buah rumah terjejas dengan ketinggian air setinggi 0.6 meter,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!.
Mengulas lanjut, katanya air mulai surut kira-kira sejam selepas itu.
“Kejadian ini juga bukan disebabkan ban yang pecah seperti dakwaan sebaliknya disebabkan air hujan dari atas bukit telah melimpah dari longkang utama seterusnya ke kawasan perumahan tersebut,” jelasnya.