30 projek bernilai RM100 juta ditangguh, jimatkan perbelanjaan kerajaan - Tok Pa
Firdaus Azil
Julai 21, 2022 11:15 MYT
Julai 21, 2022 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah mengenal pasti 30 projek bernilai RM100 juta untuk ditangguhkan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata projek yang ditangguhkan adalah yang disenaraikan untuk tahun 2022 namun belum lagi dimulakan, tidak diiklankan, dan tidak dilakukan perolehan.
Namun, menurut Ahli Parlimen Jeli itu, projek mega seperti MRT3, HSR, ECRL, dan Pan Borneo masih terus berjalan seperti biasa.
"Setakat ini hasil libat urus tersebut, sebanyak 30 projek yang melibatkan kos RM100 juta … kecil saja bilangannya.
"Seperti saya cakap, projek belum diiklankan, belum ada apa-apa persiapan.
“Libat urus berterusan minggu hadapan di antara Unit Perancangan Ekonomi, Unit Penyelarasan Pembangunan, dan Jabatan Kerja Raya akan mengadakan pertemuan untuk mana-mana projek yang perlu (diteruskan) untuk menjamin kesejahteraan rakyat.
"Setakat ini baru 30 projek,” kata Mustapa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Dewan Rakyat pada Khamis, yang mahu mengetahui perancangan kerajaan berkaitan dasar menangguh atau membatalkan projek-projek baharu.
Selain itu, Fahmi juga memohon perincian projek-projek tersebut dengan kos yang dijimatkan.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi pihak yang sudah menerima surat tawaran, maka projek di bawah mereka akan berterusan seperti biasa.
Menurutnya, projek-projek yang sedang dalam pelaksanaan serta telah dikeluarkan iklan tender, Surat Niat dan Surat Setuju Terima akan diteruskan.
Selain itu, projek-projek yang dibiayai daripada Dana Infra serta semua projek penyelenggaraan yang mustahak dan telah diluluskan akan terus dilaksanakan.
“Ini penting bagi menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19,” katanya lagi.