30 peratus pengguna belum buat sambungan ke sistem pembentungan awam - KeTTHA

Dania Zainuddin
September 30, 2017 16:42 MYT
30 peratus rakyat negara ini masih belum melakukan penyambungan dari tangki septik di kediaman mereka ke sistem pembentungan awam sedia ada. - Gambar fail
30 peratus rakyat negara ini masih belum melakukan penyambungan dari tangki septik di kediaman mereka ke sistem pembentungan awam sedia ada.
Justeru Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Ir Dr. Zaini Ujang menyarankan agar penyambungan itu dilakukan segera supaya dapat mengurangkan tahap pencemaran kumbahan, sekali gus meningkatkan kualiti persekitaran hidup yang lebih mampan.
"Ia adalah tanggung jawab individu dan pemilik premis untuk menyambung ke sistem pembentungan terdekat.
"Dalam Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara mewajibkan mereka yang tinggal 30 meter daripada sistem pembentungan awam untuk membuat penyambungan tersebut.
"Kos penyambungan itu ditanggung oleh mereka," kata Dr. Zaini ketika ditemui di Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 (P2STP) di sini hari ini.
Jelasnya, situasi ini boleh menyebabkan sisa dari rumah terus masuk ke longkang, seterusnya ke sungai yang mengakibatkan pencemaran.
"Pada masa sama kita nak pastikan sistem pembentungan negara dapat mencegah penyakit berjangkit.
"Sebagai contoh, najis yang masuk dalam sungai dan kemudian kita mendapat hasil makanan dari situ, ia tidak menjamin keselamatan masyarakat.
"Rakyat perlu bersama-sama pastikan sistem ini berjalan dengan baik, iaitu menerusi membayar tarif dan buat sambungan ke sistem pembentungan," katanya lagi.
Sementara itu, Dr. Zaini mengulas projek Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 itu juga adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam melaksanakan dasar hijau.
Antara inisiatif hijau yang dilaksanakan adalah penggunaan semula air yang telah dirawat (efluen), penuaian air hijau, fasiliti Biogas dan Pam Haba Sumber Air Kumbahan.
"Berdasarkan Pelan Induk Teknologi Hijau Malaysia 2017-2030, Malaysia mahu mengguna semula satu pertiga air yang dirawat.
"Ia bagi tujuan pelbagi termasuk industri, pengairan dan perkebunan," katanya.
Tambahnya, usaha ini bukti komitmen kerajaan kepada rakyat untuk mempunyai sistem pembentungan yang canggih dan memastikan sumber air dapat ditingkatkan kualitinya.
Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei tahun ini merupakan loji bawah tanah yang pertama di Malaysia, dan loji terbesar di Asia Pasifik.
#air #KeTTHA #kumbahan #Najib Razak #Perdana Menteri #Zaini Ujang
;