30 peratus penduduk hadir program vaksinisasi di Nabawan
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Jun 5, 2021 10:20 MYT
Jun 5, 2021 10:20 MYT
NABAWAN: Pejabat Kesihatan Nabawan menggandakan usaha pemberian vaksin khusus untuk penduduk pedalaman di daerah itu dengan melaksanakan program vaksin bergerak.
Usaha tersebut dibuat selepas misi penyaluran maklumat sebelum ini berkenaan program vaksinasi mendapat sambutan yang hambar.
Menurut Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Pensiangan Andre Joe, pada misi pertama tersebut pasukan yang diketuai Pegawai Kesihatan Nabawan Dr Mohammad Norhaizam Ahmad@Narawi telah meluangkan masa selama tiga hari pada penghujung Mei.
"Semua senarai ada di klinik dan diedarkan dua minggu awal kepada semua penama di mukim Pensiangan melibatkan 40 buah kampung dengan populasi 2,000 orang.
"Namun pada misi tersebut hanya 30 peratus sahaja yang hadir.
"Kita kenalpasti masalah mereka adalah mungkin disebabkan pertamanya faktor jalan, kedua mungkin faktor air dan satu lagi mungkin maklumat yg kami sampaikan tidak smpi kepada penduduk tersebut.
"Jadi untuk yang sekarang ini kami buat program kedua, kami buat untuk masuk ke kampung-kampung yang jauh dan kalau nak diikutkan kebanyakan kampung di mukim Pensiangan hanya boleh dicapai dengan perjalanan sungai sahaja," katanya yang ditemui pada hari pertama misi vaksin bergerak di Pensiangan pada Sabtu.
Menurut Jururawat yang telah berkhidmat selama 12 tahun di Klinik Kesihatan Pensiangan, Elizabeth Motibih, untuk penduduk keluar ke sesuatu kawasan adakalanya mengambil masa yang agak lama dan ada yang memakan masa selama lapan jam berjalan kaki untuk ke sungai.
Jelasnya itu adalah antara punca kurangnya sambutan penerima vaksin.
"Untuk pergi ke luar atau ke satu-satu tempat adalah satu kesukaran bagi mereka.
"Terdapat satu insiden ibu mengandung yang tidak dapat meneruskan perjalanan berjalan kaki dan menyebabkan satu kematian ibu dan bayi dalam kandungan.
"Itu adalah contoh di Kampung Kabu dan kalau kita mahu ke Kabu, perjalanan kita selalunya mengambil masa satu minggu sebab kita akan melalui beberapa kampung.
"Dari Pekan Kecil Pensiangan akan mengambil masa dua jam untuk sampai ke kawasan perkampungan dan kebiasaannya kami akan berhenti dan berjalan kaki selama empat jam masuk ke kampung dan kita akan buat perkhidmatan kesihatan, seterusnya kami akan bermalam di kampung tersebut sebelum meneruskan perjalanan ke Kg Kabu.
"Keesokannya kami akan menyambung kembali perjalanan darat dan disitu cabaran sebenar yang perlu kami tempuhi iaitu kami perlu berjalan kaki antara enam ke lapan jam untuk sampai ke Kg Kabu yang bersempadan dengan Indonesia," jelasnya.
Pada misi hari pertama vaksin bergerak tersebut tiba di lapan buah kampung dengan bilangan individu yang layak divaksin seramai hampir 200 orang.
Kampung-kampung terbabit adalah Kg Salinatan, Kg Tulir, Kg Susumoro, Kg Takilis, Kg Bola Baru, Kg Kesaliu, Kg Sapaku dan Kg Kasumungsung.