30 papan tanda, tonjol kampung tradisional, lokasi penggambaran popular Kuala Kangsar
Aida Aziz
April 2, 2024 09:45 MYT
April 2, 2024 09:45 MYT
KUALA KANGSAR: Kewujudan 30 papan tanda baharu di sepanjang persisiran Sungai Perak di sini, bukan sahaja memberi impak dari sudut pelancongan.
Tetapi ia turut menonjolkan beberapa kawasan terkenal yang pernah dijadikan lokasi penggambaran filem tempatan dan antarabangsa.
Usaha yang digerakkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) wajar dijadikan contoh buat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Sekurang-kurangnya kehadiran papan tanda yang besar itu dapat merubah sudut pandang pelancong yang hadir, di samping menampilkan beberapa kampung tradisional di situ.
Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, projek pemasangan 30 papan tanda itu bermula sejak hujung tahun lalu.
"Papan tanda itu meliputi kampung dan lokasi yang dijadikan tempat penggambaran filem antarabangsa serta tempatan.
"Ia juga bertepatan dengan projek River Cruise Sungai Perak di situ, papan tanda itu memang besar dan bila pengunjung yang naik bot ketika belayar boleh nampak lokasi menarik yang ditonjolkan," katanya ketika ditemui.
Nor Hisham menambah, prasarana itu penting dalam mempromosi pelancongan berasaskan sejarah serta warisan.
"Ada yang sudah selesai dipasang dan ada masih dalam proses pemasangan (papan tanda).
"Ia bagus kerana dapat menghidupkan pelancongan sejarah di persisiran sungai. Kampung yang ada nilai sejarah juga boleh ditonjolkan untuk tumpuan ramai.
"Setiap kampung ada produk tersendiri dan penceritaan sejarah masing-masing, dengan cara itu kita boleh jana ekonomi setempat," katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, untuk penambahbaikan di masa depan, MPKK boleh menambah maklumat lanjut seperti penceritaan di papan tanda berkenaan.
"Memang ramai yang beri maklum balas positif, dalam pada itu ada juga di antara mereka mahukan lebih penceritaan di papan tanda itu.
"Jika orang ramai pergi sendiri ke lokasi berkenaan tanpa jurupandu, sekurang-kurangnya ada maklumat yang dipaparkan mengenai kisah sejarah di setiap papan tanda.
"Diharapkan juga bila adanya papan tanda itu, ia akan dijaga sebaik mungkin dari masa ke semasa supaya tidak terbiar sehingga terlindung kerana ditumbuhi semak samun," katanya lagi.
Antara lokasi papan tanda itu merangkumi, Kampung Seberang Karai, Kampung Kuala Parit, Kampung Kandang Hilir, Kampung Sayong Lembah, Kampung Jenalik, Kampung Sayong Tebing, Kampung Senawar, Kampung Bendang Kering, Bukit Chandan.
Kampung Padang Changkat, Kampung Tanah Lepan, Kampung Menora, Kampung Buaya, Kampung Enggor (dalam proses pemasangan), Kampung Jamuan.
Kampung Kledang, Warung Pak Jabit (dalam proses), lokasi telefilem 18 Puasa, Zombie Kampung Pisang serta Anna & The King.