30 minit tarik ular sawa 250kg sedang mengawan

Abd Razak Mohd Ali
Disember 27, 2018 23:26 MYT
Ular sawa batik dipercayai sedang mengawan itu ditemui anggota TLDM yang bertugas di kawasan hutan berhampiran kira-kira jam 12 tengah hari. -Foto Bomba TLDM
Sepasang ular sawa berukuran lima meter dengan berat keseluruhan 250 kilogram berjaya ditangkap anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, pada Khamis.
Ular sawa batik dipercayai sedang mengawan itu ditemui anggota TLDM yang bertugas di kawasan hutan berhampiran kira-kira jam 12 tengah hari.
Pegawainya, Leftenan Komander Meor Fuad Zakaria berkata pihaknya tidak menyangka haiwan disangka kecil itu sebenarnya memerlukan kekuatan 10 anggota bagi menariknya keluar dari semak.
"Setibanya di lokasi itu, kita hanya nampak ekor ular itu kecil dan ketika usaha menariknya keluar, ia memerlukan beberapa anggota untuk mengangkat.
"Operasi mengambil masa lebih 30 minit sebelum disimpan untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) esok," ujarnya.
Katanya lagi, haiwan itu tidak agresif dan pihaknya menjaga haiwan tersebut termasuk memandikannya.
"Habitat ular adalah ditempat sejuk dan ia mudah agresif bila panas.
"Sepanjang empat tahun bertugas, ini pengalaman pertama anggota menangkap ular sawa sebesar ini. Kebiasaan menerima laporan membabitkan ular bersaiz kecil," katanya lagi.
#5 meter #BBP #bomba #mengawan #Perhilitan #sawa batik #TLDM #ular sawa
;