30 minit tangkap ular sawa telan anak lembu
Sinar Harian
Ogos 28, 2022 23:40 MYT
Ogos 28, 2022 23:40 MYT
HULU TERENGGANU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hulu Terengganu mengambil masa setengah jam untuk menangkap seekor ular sawa yang kekenyangan selepas menelan anak lembu di Kampung Tapah, di sini pada Ahad.
Pegawai APM Daerah Hulu Terengganu, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian terbabit pada jam 9.16 pagi sebelum bergerak ke lokasi bersama dua pegawai dan lima anggota.
"Pemilik mengesyaki anak lembunya yang baharu dilahirkan beberapa hari lalu ditelan ular sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan bagi memohon bantuan.
"Sebaik tiba, anggota APM bergegas ke kawasan bukit berhampiran kandang dan mendapati ular tersebut sudah menelan anak lembu berkenaan," katanya di sini pada Ahad.
Menurut Mohd Zabri, pihaknya bertungkus lumus mengeluarkan ular sawa berkenaan dari semak menggunakan peralatan penjerut.
Beliau berkata, operasi menangkap ular sepanjang 20 meter dengan berat 90 kilogram (kg) itu selesai sepenuhnya pada jam 10.30 pagi dan haiwan berkenaan dilepaskan ke habitat asal yang tidak dikunjungi orang ramai.
"Difahamkan, beberapa ekor kambing milik penduduk sekitar sebelum ini sering kali hilang dipercayai ditelan ular. Jadi penangkapan ini melegakan mereka," jelas Mohd Zabri. - Sinar Harian