30 lagi pakej Lebuhraya Pan Borneo ditender secara berperingkat bulan ini
Bernama
Jun 13, 2017 07:00 MYT
Jun 13, 2017 07:00 MYT
Tiga puluh lagi pakej di bawah projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan ditender kepada syarikat-syarikat yang layak secara berperingkat mulai Jun ini sehingga penghujung tahun 2017.
Pengarah Urusan Borneo Highway PDP (BHP) Sdn Bhd Ir Shahelmey Yahya berkata projek lebuh raya tersebut mempunyai 35 pakej, yang lima pakej daripadanya kini dalam fasa pembinaan.
"Kami komited dengan terma perjanjian rakan pelaksana projek lebuh raya ini bahawa kami akan menyempurnakannya menjelang 31 Dis 2021 sebagaimana dipersetujui antara kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan," katanya pada Majlis Berbuka Puasa anjuran syarikat itu di sini, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Shahelmey turut mengucapkan terima kasih dan melahirkan penghargaan kepada kementerian juga jabatan di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan serta badan swasta yang terlibat dalam pelaksanaan fasa pertama projek lebuh raya tersebut.
"Kami berharap segala komitmen dan kerjasama ini akan dapat kita teruskan pada fasa kedua sekali gus menjayakan pelaksanaan projek ini secara keseluruhannya," katanya.
Mengenai majlis, Shahelmey berkata ia merupakan acara berbuka puasa julung kali diadakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat membantu golongan kurang berkemampuan.
Pada majlis itu, seramai 70 anak yatim dari tiga rumah anak yatim masing-masing Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah, Papar; Home Tuaran; dan Rumah Amal Kasih Kingfisher Likas diraikan.
BHP Sdn Bhd turut memberikan duit raya kepada setiap anak yatim berkenaan selain sumbangan RM3,000 kepada setiap rumah anak yatim. - BERNAMA