30 kubur di Ganchong Hulu diancam hakisan Sungai Pahang
Astro Awani
Disember 2, 2021 15:35 MYT
Disember 2, 2021 15:35 MYT
PEKAN: Sejumlah 30 kubur di Tanah Perkuburan Islam Ganchong Hulu, Pekan, Pahang yang bersebelahan Sungai Pahang, kini berhadapan dengan ancaman hakisan tebing sungai yang serius.
Menurut Pengerusi Masjid Besar Ganchong, Mohd Nor Azmi Nordin, kesan hakisan yang disedari berlaku sejak tiga tahun lalu amat membimbangkan kerana kini jarak kubur dari tebing Sungai Pahang hanya berbaki sekitar dua meter.
Tambah Mohd Nor Azmi, jarak asal tanah perkuburan dari tebing sungai ialah kira-kira 10 meter tetapi ia semakin terhakis ekoran kerap berlaku banjir.
"Kita minta kalau boleh pihak berwajib cuba tolong bagi penyelesaian masalah ini. Seperti yang kita tengok sekarang, dengan keadaan monsun tengkujuh ni ... sama ada nak terjadi banjir atau tidak tahun ini. Masalah ini makin ketara," ujar Mohd Nor Azmi.
Tambahnya, jika keadaan bertambah buruk, jenazah yang disemadikan berkemungkinan dikhuatiri akan hanyut dibawa arus bila berlaku hakisan yang teruk.
Oleh itu, masalah tersebut perlu ditangani segera walaupun belum berlaku kejadian seumpamanya.
Menurut seorang penduduk, Mohd Hamdan Abd Rahim, perkara itu sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu, dengan hakisan tebing sungai berlaku setiap tahun disebabkan air pasang dan hujan lebat.
Mohd Hamdan berharap pihak berkuasa dapat membantu menyelesaikan masalah hakisan tebing sungai sama ada dengan membina benteng batu atau mengalihkan jenazah ke lokasi lain.
"(Tindakan) alternatif tu... alihlah (jenazah di tapak kubur). Kaedah lain tak ada rasanya. Itu semua memerlukan kos.
"Selain itu, kita pun tak berpengalaman dalam menguruskan perkara begitu (hal mengalihkan kubur)," ujarnya.