30,000 rakyat Johor dijangka rai keberangkatan Sultan Ibrahim

Bernama
Januari 28, 2024 07:30 MYT
Seramai 30,000 rakyat Johor dijangka berada di sepanjang jalan dari Istana Bukit Serene, di sini sehingga ke Hangar Diraja, Senai. - Foto fail/Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Seramai 30,000 rakyat Johor dijangka berada di sepanjang jalan dari Istana Bukit Serene, di sini sehingga ke Hangar Diraja, Senai, bagi meraikan keberangkatan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ke Istana Negara pada 31 Jan ini.
Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata ia membabitkan laluan sepanjang 35.5 kilometer yang akan ditutup bermula 7.45 pagi hari sama.
Beliau berkata seramai 1,200 pegawai dan anggota termasuk agensi lain akan membantu penugasan mengawal keselamatan dan memastikan kelancaran trafik.
"Pergerakan keberangkatan baginda akan mengambil masa lebih kurang sejam untuk sampai ke Hangar Diraja.
"Ada 15 lokasi tempat pemeriksaan sambutan dengan 30,000 orang dianggarkan akan hadir, saya menyeru rakyat beramai-ramai hadir meraikan keberangkatan baginda," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini pada Ahad.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mengutamakan keselamatan serta mendengar arahan pihak polis.
Sultan Ibrahim akan memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 mulai 31 Jan ini.
Baginda akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan.
-- BERNAMA
#Istana Bukit Serene #rakyat johor #Sultan Johor #Sultan Ibrahim #keberangkatan
;