30,000 pelancong dijangka berkunjung ke Langkawi pada dua minggu akhir September

Abd Hadi Che Awang
September 14, 2021 17:15 MYT
Langkawi akan menjadi tumpuan selepas dipilih sebagai projek rintis program gelembung perjalanan oleh kerajaan bermula 16 September ini. - Gambar Astro AWANI
LANGKAWI: Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA) menyasarkan kira-kira 30,000 individu akan berkunjung ke Langkawi pada dua minggu terakhir September susulan pembukaan pulau peranginan itu kepada orang ramai menerusi inisiatif gelembung pelancongan yang bermula Khamis ini (16 September).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, sasaran itu adalah selaras dengan jangkaan awal kemasukan pelancong menerusi jalan darat dan udara iaitu seramai 2,000 orang sehari.
Angka itu, menurut beliau, akan meningkat dari semasa ke semasa sehingga berjaya mencapai sasaran Langkawi menerima seramai 200,000 pelancong sebulan seperti yang ditetapkan pada bulan Disember.
"Dalam dua minggu pertama ini, kita menjangkakan lebih kurang dalam 30,000 (pelancong masuk ke Langkawi), bulan ini ada 15 hari lagi, (dan dengan purata kehadiran 2,000 kedatangan sehari kita jangkakan 30,000 ribu (pelancong) untuk bulan ini,
"(Angka) 2,000 sehari itu adalah angka yang sederhana kerana kita tidak mahu ghairah untuk (sasar) angka yang tinggi sehingga (keadaan berada di) luar kawalan, apa yang penting ialah kita dapat mengawal kehadiran pengunjung dengan baik," kata Nasaruddin.
Beliau berkata demikian dalam sidang media persiapan LADA sempena pembukaan Langkawi bagi inisiatif gelembung pelancongan di Kompleks LADA, Kuah di sini, pada Selasa.
Tambah Nasaruddin, jumlah penerbangan masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Subang pada hari pertama pembukaan Langkawi adalah sebanyak lima penerbangan selain tiga perjalanan masuk feri dari Terminal Feri Kuala Perlis.
Kekerapan perjalanan itu juga difahamkan akan meningkat berdasarkan fasa kemasukan pelancong secara berperingkat serta pembukaan semula Terminal Feri Kuala Kedah sebaik sahaja tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat bagi Mukim Kuala Kedah.
"Kita (akan) terima pelancong secara berperingkat, misalnya pada hari pertama kita terima tiga buah feri dan lima buah penerbangan masuk, kita jangkakan penerbangan akan bertambah dari semasa ke semasa sehinggalah (mencapai) 15 penerbangan sehari,
"(Kemasukan secara berperingkat) itu (dapat) memberi persediaan (secukupnya) kepada pemain industri dan pengendali (pelancongan) untuk menerima bilangan pengunjung yang lebih ramai pada masa akan datang, bermula dengan 16 September,
"(Bagi kekerapan perjalanan feri pula) kita jangkakan dia akan meningkat secara berperingkat sehingga 10 perjalanan satu hari," tambah Nasaruddin.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan perbelanjaan oleh pengunjung yang melancong ke pulau peranginan itu adalah sekitar RM165 juta bagi tempoh 16 September sehingga 31 Disember depan.
Jumlah anggaran perbelanjaan oleh pengunjung itu diperoleh berdasarkan kajian yang dibuat oleh LADA bersama Universiti Sains Malaysia (USM).
Kajian itu mendapati purata perbelanjaan bagi setiap pelancong tempatan di Langkawi adalah sekitar RM412 sehari termasuk penginapan, makanan, pengangkutan dan tiket kemasukan ke pusat-pusat pelancongan.
Pulau peranginan Langkawi dijangka menjadi tumpuan selepas kerajaan bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan dalam masa terdekat.
Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 September.
Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pembukaan sektor itu berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.
BACA: Langkawi jadi perintis gelembung perjalanan bermula 16 Sept - PM
#Langkawi #gelembung pelancongan #Lembaga Kemajuan Langkawi #LADA
;