30,000 benih ikan baung sungai dilepaskan di Kota Tinggi
Bernama
Mac 22, 2023 04:00 MYT
Mac 22, 2023 04:00 MYT
KOTA TINGGI: Jabatan Perikanan Johor melepaskan 30,000 benih ikan baung sungai yang dianggarkan bernilai RM30,000 bagi meningkatkan stok dan memperkayakan sumber perairan sungai di daerah Kota Tinggi.
Pengarahnya Zainudin Abd Wahab berkata program itu bertujuan melestarikan sumber perikanan semula jadi menerusi peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri.
"Ini adalah usaha kita agar hasilnya nanti dapat dinikmati oleh orang ramai serta kumpulan sasar khususnya komuniti perikanan darat di sini.
"Secara tidak langsung, ia dapat memberi impak positif kepada sosioekonomi komuniti di sini di samping mengukuhkan keterjaminan makanan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, beliau menghadiri program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum Kota Tinggi 2023 bersama komuniti perikanan darat Sungai Sempadan, di sini semalam.
Selain mengekalkan populasi ikan air tawar, menurutnya program itu turut menjalankan sesi libat urus secara ringkas bersama komuniti perikanan setempat.
-- BERNAMA